KUALA TERENGGANU: Dua pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes buli di sekolah tersebut.
Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di sini.
Kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu ditahan petang semalam selepas hadir bersama keluarga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, lima pelajar lain berusia 15 hingga 17 tahun turut direman sehingga esok atas kes yang sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu, dua pelajar Tingkatan Dua menjadi mangsa buli oleh beberapa senior di asrama pada 11.30 malam Selasa lalu.
“Seorang mangsa didakwa dipaksa duduk separa mencangkung, diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut, dan ditampar sehingga mengalami sakit di rusuk kanan serta lebam di belakang badan,“ katanya.