• 2025-09-10 05:35 PM

SHAH ALAM: Pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan dalam kes seorang anggota polis yang didakwa membunuh lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah tahun lepas.

Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili tertuduh Lans Koperal Muhammad Alif Monjani berumur 27 tahun berkata dokumen itu akan diteliti terlebih dahulu kerana turut membabitkan barangan kes ketika kejadian.

Mahkamah menetapkan 28 Oktober ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Pada tarikh itu pihak pembelaan akan memaklumkan sama ada mahu mengemukakan representasi atau tidak.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman.

Muhammad Alif didakwa menyebabkan kematian Nur Farah Kartini berumur 26 tahun di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara pukul 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang 15 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Lima hari kemudian mayatnya ditemui polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.

Susulan itu seorang lelaki berusia 26 tahun yang bertugas di Perak telah ditahan dan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama