MELAKA: Hanya satu kes dera membabitkan kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak (taska) direkodkan di negeri ini dari Januari hingga Jun tahun ini.
Angka ini menunjukkan penurunan ketara berbanding tujuh kes yang dilaporkan sepanjang tahun lepas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin, berkata penurunan sebanyak 85.7 peratus itu membuktikan usaha pencegahan semakin berkesan.
“Meskipun peratusan kes penderaan di taska dan pusat jagaan menurun, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetap komited dan proaktif dalam memastikan setiap institusi mematuhi peraturan ditetapkan serta menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada anak-anak kita,“ katanya semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.
Kenyataan itu dibuat sebagai jawapan kepada soalan Adly Zahari (PH-Bukit Katil) yang ingin mengetahui statistik kes dera berkaitan kanak-kanak di pusat jagaan. Kalsom turut memaklumkan bahawa terdapat 150 taska dan 117 pusat jagaan berdaftar di Melaka setakat ini. - Bernama