KUALA LUMPUR: Wang tunai sebanyak RM600,000 lagi ditemukan dan disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah kediaman disewa suspek kes konsesi pasir melibatkan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kediaman berkenaan merupakan antara enam premis yang digeledah dalam satu operasi semalam, susulan siasatan lanjut SPRM terhadap kes berkenaan yang dipercayai melibatkan seorang ahli politik berpengaruh di Selangor.

“Seperti anda tahu ada enam premis telah digeledah SPRM dan antara penemuan ialah penyitaan wang sebanyak RM600,000, dipercayai mempunyai kaitan dengan ahli politik.

“Wang tersebut ditemukan di sebuah kediaman di Lembah Klang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM bersama Bank-Bank Komersial di sebuah hotel di sini hari ini.

Ia menjadikan sejak Sabtu lepas, secara keseluruhan sebanyak sembilan premis digeledah dan wang tunai hampir RM6 juta disita SPRM, termasuk penemuan wang tunai dalam mata wang asing berjumlah RM5 juta di sebuah kediaman, malam Sabtu lepas dan RM321,000 di dua buah premis lain.

Azam berkata pihaknya telah mendapat perintah reman selama tujuh hari terhadap seorang individu berusia 45 tahun, yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) MBI.

Beliau berkata suspek sebelum ini pernah ditahan reman sehari oleh SPRM.

“Suspek sebelum ini kita tahan bersama seorang lagi suspek, namun dia (suspek) direman sehari.

“Pagi ini kita telah mendapat permohonan reman selama tujuh hari terhadap bekas COO MBI bagi membantu siasatan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada terdapat premis yang digeledah dimiliki suspek, Azam berkata hampir kesemua premis yang digeledah bukan milik suspek sebaliknya disewa.

Pada Khamis lepas SPRM menahan dua individu melibatkan bekas eksekutif kanan MBI dan seorang ahli perniagaan dalam siasatan kes berkenaan.