SHAH ALAM: Polis Selangor hari ini melupuskan 1.99 tan metrik dan 267,711.02 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM131.71 juta yang telah selesai kes mahkamah.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kesemua dadah yang dilupuskan melibatkan 5,894 kertas siasatan bagi tempoh 2009 hingga 2024.

Beliau berkata dadah antaranya ketamin, syabu, heroin, pil ekstasi, pil kuda serta daun dan cecair ketum itu akan dilupuskan oleh Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

“Usaha melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah menyaksikan sebanyak 2,924 individu ditangkap sepanjang tempoh berkenaan dengan 37 daripadanya telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

“Dalam tempoh sama, Polis Selangor juga telah memberkas 775 orang pengedar di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes dadah di sini hari ini.

Hussein berkata bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah menahan 18,878 penagih dan pengedar dadah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 636 adalah pengedar dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hussein berkata JSJN Selangor juga menumpaskan 27 sindiket pengedaran dadah dan menangkap 725 individu, iaitu 3.84 peratus daripada tangkapan keseluruhan bagi tempoh tersebut.

Beliau berkata dengan penahanan itu, pihaknya berjaya merampas dadah bernilai RM103.54 juta yang dipercayai boleh dibekalkan kepada 2.5 juta pengguna.

“Daripada 725 yang ditahan, 13 orang disabitkan dengan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” katanya.