KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 9 Julai depan bagi sebutan semula kes anggota polis trafik Bukit Aman yang dituduh mengakibatkan kematian seorang lelaki di Jalan Stephen Yong di sini pada April lepas.

Majistret Ling Hui Chuan membenarkan pemohonan Pegawai Pendakwa Polis Insp Nur Shafiqa Nyaie Ilin terhadap tertuduh yang berpangkat Lans Koperal Genesis Nitchell David Reddy.

Genesis, 30, diwakili peguam Russel Lim dan Brenden Ting dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan pasukan pendakwaan belum menerima keputusan balistik, laporan kimia berkaitan Gunshot Residue (GSR) dan asid deoksiribonukleik (DNA) serta laporan penuh hasil bedah siasat mangsa.

Genesis yang berasal dari Kampung Semaba di sini, didakwa membunuh Muhammad Zaki Iderus, 34, yang maut akibat terkena tembakan semasa berada di dalam sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Stephen Yong di sini pada 26 April.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Mei lepas, anggota polis itu dituduh di mahkamah, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 26 April lepas pula, Ketua Polis Daerah Padawan Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi dilaporkan berkata dua lelaki hadir ke Balai Polis Batu Kawa kira-kira 5.30 pagi untuk memaklumkan seorang rakan mereka ditembak dan berada di dalam kereta yang dinaiki mereka.

Berikutan itu, enam lelaki termasuk anggota polis berkenaan direman bagi membantu siasatan.