SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang ibu dan anak perempuannya selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah RM20,000 melibatkan pas lawatan IMM13 di sini, sejak 2022.

Perintah reman hingga 2 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Marilyn Kelvin.

Suspek berusia 50-an dan anaknya, 30-an, dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 bagi pelarian dari Filipina yang mencari perlindungan di Sabah akibat pergolakan pada awal 1970-an.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua beranak itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat susulan penahanan itu.