KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai penyiasat dan penyelia sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran peraturan dalam kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan dalaman telah dimulakan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama pasukan khas yang ditubuhkan khusus bagi kes itu.
“Kita menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP). Jika terdapat sebarang pelanggaran, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai terlibat.
“Saya juga meminta Pengarah JIPS meneliti perkara ini dari sudut tatatertib serta mengambil langkah sewajarnya berdasarkan tahap pelanggaran yang dikenal pasti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan kelewatan permohonan bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai antara punca ketidakpatuhan SOP dalam kes tersebut.
Susulan itu, JIPS Bukit Aman telah mengambil keterangan daripada Ketua Polis Daerah berpangkat Supt, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) berpangkat ASP serta pegawai penyiasat berpangkat Insp.
Mohd Khalid berkata hasil siasatan dalaman itu akan menentukan bentuk tindakan seterusnya mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai- BERNAMA