GEORGE TOWN: Kesetiaan dan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO menjadi teras utama bagi memastikan parti itu kembali kuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa kedua-dua nilai ini penting dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau berkata, UMNO perlu kekal bersatu dan setia kepada parti bagi memastikan kestabilan dalaman sebelum menghadapi pertandingan besar pada PRU16.
“Kita perlu pastikan kita sentiasa dalam keadaan yang mengekalkan perpaduan yang baik dan tinggi, serta memastikan kesejahteraan parti kita,“ katanya semasa merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gelugor.
Mohamed Khaled turut mengingatkan ahli UMNO supaya menerima hakikat bahawa tiada parti politik lagi yang mampu mendominasi secara tunggal seperti dahulu.
Justeru, sokongan padu daripada rakan gabungan dalam Barisan Nasional (BN) amat diperlukan bagi memastikan kejayaan pada PRU16.
Sementara itu, di KOTA TINGGI, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru ahli parti supaya tidak leka dan terus bekerja keras mempertahankan kerusi sedia ada serta merampas semula kerusi yang hilang.
“Kita tidak boleh leka, tak boleh mimpi kalau nak menang pilihan raya. Kemenangan tak datang dengan harapan kosong, ia perlu usaha dan strategi.
“Kita perlu pastikan kerusi Parlimen dan DUN yang ada terus kekal dan dalam masa sama cari ruang untuk tambah kerusi lain,” katanya semasa berucap di Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang.
Mahdzir turut menekankan pentingnya ahli UMNO dan penyokongnya tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu atau fitnah.
Beliau menegaskan bahawa parti perlu berpegang kepada fakta dan kebenaran dalam menghadapi landskap politik yang semakin mencabar. – Bernama