• 2025-09-22 11:20 AM

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bercadang menganjurkan kursus pengurusan kewangan kepada pekerja gig sebagai langkah membantu mereka merancang kewangan secara lebih berkesan.

Menteri Steven Sim berkata langkah itu penting untuk membantu pekerja gig mempelajari selok-belok pengurusan kewangan termasuk menyimpan dan melabur.

“Kita dah mula adakan jerayawara di Kuala Lumpur dengan pekerja gig dalam sektor perfileman, dan kita berada di sini dengan kebanyakannya pekerja e-hailing,“ katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Penang Rider Jalan Teruih di Permatang Pauh.

Beliau berkata daripada maklum balas yang diterima, mungkin ada keperluan memberikan kursus pengurusan kewangan kepada mereka.

Antara isu yang dibangkitkan pada pertemuan itu ialah pemahaman berhubung kewajipan cukai boleh ditangani melalui pendedahan kepada literasi kewangan yang komprehensif.

“Ada kegusaran tentang membayar cukai... mungkin ada pemahaman yang kurang tepat tentang pencukaian,“ katanya.

Dengan adanya kursus literasi ataupun kecelikan kewangan maka kita memperkasakan mereka agar lebih faham isu pencukaian dan boleh urus kewangan dengan baik.

KESUMA akan meneruskan siri jelajah bertemu dengan pekerja gig di seluruh negara sebagai platform untuk memberi penerangan lanjut mengenai pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Parlimen baru-baru ini.

Sesi libat urus itu juga diadakan bagi mendengar permasalahan pekerja gig dan pihaknya mencuba membantu mencari jalan penyelesaian terhadap situasi yang membelenggu mereka.

KESUMA juga merancang untuk memberikan latihan kemahiran kepada pekerja gig seperti kursus membaiki motosikal dan memasak bagi membantu pembangunan kerjaya serta menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka.

Sim turut meminta pengusaha pasar raya, pusat beli-belah dan medan selera, khususnya yang berskala besar, menyediakan kemudahan menunggu yang lebih sesuai serta selamat bagi pekerja gig seperti penghantar makanan dan barangan.

Penyediaan tempat menunggu yang lebih strategik dan mesra pekerja gig akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penghantar malah pelanggan serta pengusaha pasar raya, pusat beli-belah dan medan selera itu sendiri.

“Apabila rider tiba untuk mengambil makanan atau barangan, masa mereka sangat terhad dan jika lokasi menunggu jauh, tiada tempat teduh dan tempat letak motosikal pula terhad, ia bukan sahaja menyukarkan mereka malah melambatkan proses penghantaran kepada pelanggan terutama jika hujan,“ katanya.

Program Penang Rider Jalan Teruih berjaya menghimpunkan lebih 1,500 penunggang motosikal dengan majoritinya daripada kalangan pekerja gig khususnya p-hailing.

Ia merupakan sebahagian daripada siri jelajah penerangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dimulakan dengan konvoi motosikal sejauh tiga kilometer.

Ini merupakan kali pertama Sim berpeluang bertemu secara langsung dengan 1,500 pekerja gig bagi menerangkan RUU itu, yang bertujuan memberi perlindungan kepada mereka daripada aspek undang-undang perburuhan, keselamatan sosial dan hak sebagai pekerja gig.

Para peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi acara cabutan bertuah termasuk hadiah utama berupa sebuah motosikal elektrik dan lebih 400 hadiah lain. – Bernama