• 2025-07-17 09:23 PM

LABUAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan tidak boleh dianggap sebagai entiti yang sama kerana setiap wilayah berdepan cabaran berbeza.

Beliau menekankan perlunya pendekatan khusus dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi menangani isu-isu setempat.

“Selama ini, Wilayah Persekutuan sering dianggap sebagai satu entiti yang homogen. Namun apabila kita menyentuh soal ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jelas bahawa ketiga-tiga wilayah ini berdepan cabaran yang sangat berbeza,“ katanya dalam hantaran Facebooknya.

Bagi Kuala Lumpur, jurang pendapatan semakin melebar, memerlukan keseimbangan semula ekosistem pertumbuhan. Putrajaya pula perlu kekal sebagai perintis inovasi dasar dan ketelusan pentadbiran. Sementara itu, Labuan memerlukan perhatian strategik kerana walaupun mencatat KDNK per kapita kedua tertinggi, pulangan kepada rakyat masih tidak mencukupi.

“Labuan mencatatkan kutipan cukai sekitar RM47 juta berbanding perbelanjaan RM95 juta, sekali gus menzahirkan ketidakseimbangan fiskal yang perlu ditangani,“ jelas Dr Zaliha. Beliau turut menyarankan pengukuhan sektor alternatif seperti pelancongan dan ekonomi biru bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas. - Bernama