KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Negara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini menzahirkan penghargaan tulus terhadap mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram, menyifatkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu sebagai tokoh besar dalam landskap perundangan negara.
Beliau menggambarkan mendiang sebagai insan ketajaman minda, berprinsip teguh serta berpegang pada kebebasan kehakiman tanpa gentar.
“Secara peribadi, beliau bukan sahaja seorang hakim, tetapi juga sahabat dan guru. Kepada warga perundangan pula, beliau adalah lambang kecemerlangan, integriti dan keberanian,” katanya.
“Penghakiman beliau sarat dengan hujah bernas, kata-kata beliau membawa wibawa keadilan, manakala komitmen beliau terhadap kedaulatan undang-undang menjadi penanda aras yang terus memberi inspirasi.
“Daripada isu perlembagaan, pertikaian komersial hinggalah kes kepentingan awam yang berimpak besar, sumbangan beliau membentuk landskap perundangan negara dan akan terus dikenang sepanjang zaman,” katanya ketika berucap pada pelancaran buku Quintessential Gopal Sri Ram di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis itu diadakan bersempena ulang tahun kelahiran mendiang ke-82. Sri Ram meninggal dunia pada 29 Jan 2023.
Wan Ahmad Farid, yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 bulan lepas, turut berkongsi pengalaman peribadinya bersama Sri Ram pada 1994 ketika beliau masih beramal sebagai peguam di Kuala Terengganu.
Katanya seorang kliennya pernah meminta khidmat barisan peguam terbaik dan menyebut nama Sri Ram.
“Saya memberanikan diri menghubungi pejabat beliau dan menjelaskan bahawa firma saya adalah peguam yang mewakili kes itu serta hasrat klien untuk melantik beliau sebagai Peguam Kanan.
“Tidak saya sangka, beliau menjawab: ‘Saya pernah dengar tentang awak, Farid. Saya akan jumpa awak dan klien awak di Kuala Terengganu esok’,” katanya.
Wan Ahmad Farid berkata mereka kemudian berbincang strategi dengan baik, namun kliennya sempat bertanya: “Encik Sri Ram, dengan bayaran yuran sebanyak ini, bolehkah anda jamin kemenangan?”
“Jawapan pantas beliau ialah: ‘Saya bukan syarikat insurans yang memberi sebarang jaminan’,” katanya sambil mengimbas kenangan itu.
Mengulas mengenai buku berkenaan, Wan Ahmad Farid berkata penerbitan oleh Thomson Reuters itu bukan sekadar menghimpunkan penghakiman mendiang, sebaliknya menjadi bukti pengaruh besar beliau dalam bidang kehakiman.
“Bagi peguam muda, buku ini adalah panduan penting memahami kaedah penaakulan kehakiman terbaik. Untuk pengamal berpengalaman pula, ia menjadi peringatan bahawa profesion ini mampu mencapai tahap tertinggi jika berteraskan kebijaksanaan dan prinsip.
“Bagi institusi kehakiman, buku ini pula adalah simbol nilai yang wajar kita kekalkan,” katanya - BERNAMA