Your Title

PENAMPANG: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan ketua jabatan di bawah kementerian berkenaan agar sentiasa mengelakkan sebarang kesalahan rasuah dan ketirisan.

Beliau berkata mereka juga berperanan memastikan produktiviti jabatan ditingkatkan dan setiap tanggungjawab yang diamanahkan dilaksana termasuk oleh anak buah masing-masing kerana penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji pada 1 Dis ini.

“Pagi tadi, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada menyebut dalam perhimpunan bulanan di Jabatan Perdana Menteri bahawa mana-mana ketua jabatan yang ada anak-anak buahnya terlibat dalam isu rasuah maka ada kesan kepada prestasi rekod ketua jabatan.

“Ini juga adalah pesanan untuk diri saya dan ketua jabatan. Kita mesti usaha untuk mengelakkan masalah seperti rasuah dan ketirisan daripada berlaku,“ katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Komunikasi bagi Zon Sabah dan Labuan yang menyaksikan 69 petugas menerima anugerah masing-masing.

Fahmi turut menasihati semua petugas supaya mengutamakan aspek kesihatan dengan sentiasa membuat pemeriksaan dan mengamalkan pemakanan sihat bagi memastikan mereka memiliki kesihatan optimum selain bebas daripada sebarang penyakit seperti sakit jantung serta kencing manis.

“Kita perlu memastikan keseimbangan kehidupan bekerja. Kerja memang kerja tetapi sekali sekala bersantai itu juga penting,“ katanya.

Beliau juga mahu ketua jabatan cakna serta prihatin terhadap aspek kesihatan mental setiap petugas dengan mewujudkan suasana memberi sokongan di tempat kerja.