• 2025-07-19 09:10 PM

SEREMBAN: Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di Kilometer 259.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara, pagi tadi.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir dalam perjalanan dari Tampin ke Port Dickson bagi menghadiri Program Pemukiman Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan semasa melihat kemalangan itu.

“Beliau telah mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan dan turun menghulurkan bantuan kepada mangsa. Kemalangan melibatkan empat kereta dan sebuah motosikal.

“Penunggang motosikal dan penumpang hadapan sebuah kereta terlibat mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans,“ menurut kenyataan itu.

Keprihatinan Ahmad Dzaffir membuktikan perkhidmatan polis bukan sahaja cekap dalam menguatkuasakan undang-undang, tetapi turut menyerlahkan sikap kemanusiaan dan belas ihsan terhadap insan ditimpa musibah, menurut kenyataan itu. - Bernama