KUALA LUMPUR: Kadar keuntungan tahunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas kenaikan tarif elektrik serta kemajuan projek 5G menjadi tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) meminta penjelasan mengenai jumlah keuntungan TNB selepas kenaikan tarif elektrik bagi sektor komersial.
Beliau turut bertanya sama ada kenaikan tarif 14.2 peratus boleh ditangguhkan atau dilaksanakan secara berperingkat.
Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) mengemukakan soalan mengenai perkembangan terkini projek 5G dan strategi perluasan liputan ke luar bandar.
RSN Rayer (PH-Jelutong) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan langkah pencegahan kemalangan seperti di Teluk Intan dan Gerik.
Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) bertanyakan rasional pemindahan hospital pengajar USIM dari Nilai ke Kota Tinggi.
Selepas sesi soal jawab, perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diteruskan dengan penyertaan 78 Ahli Parlimen.
RMK13 bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dengan peruntukan pelaburan RM611 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 24 hari hingga 28 Ogos. - Bernama