KUALA LUMPUR: Kewangan iklim penting dalam usaha mencapai sasaran yang ditetapkan dan memupuk perubahan positif, sekali gus memastikan masa depan lebih mampan dan saksama, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Malaysia mengalu-alukan perkongsian dan pelaburan antarabangsa yang menyokong peralihan tenaga negara dan objektif iklim yang lebih luas.

“Kami terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk institusi kewangan antarabangsa dan pelabur swasta, untuk mengerakkan sumber yang diperlukan bagi projek pembangunan mampan,” katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kewangan Iklim 2024: Menggerakkan Modal untuk Peralihan yang Saksama.

Sidang kemuncak sehari anjuran Persatuan Alumni Felo Perdana itu menekankan keperluan penting untuk penyelesaian kewangan yang inovatif menangani cabaran iklim.

Beliau berkata penggerakan modal untuk peralihan yang saksama menawarkan peluang pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang, peningkatan kesaksamaan sosial dan lonjakan keyakinan pelabur.

Fadillah turut menekankan kepentingan mengenal pasti tindakan segera bagi misi itu.

“Panel Antara Kerajaan bagi Perubahan Iklim terus mengeluarkan peringatan jelas mengenai kesan perubahan iklim yang semakin cepat.

“Konsensus saintifik adalah jelas bahawa kita mesti bertindak tegas dan pantas untuk mengurangkan kesan ini. Inti pati bagi usaha ini ialah peralihan kepada sistem tenaga mampan,” katanya.

Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah masa depan yang lebih mampan, termasuk meningkatkan sasaran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus menjelang 2050, naik daripada 40 peratus pada 2035 berdasarkan sasaran sebelum ini.

Kerajaan juga bercadang memperkenalkan Skim Bekalan TBB Korporat pada September, yang akan membolehkan entiti korporat mendapatkan bekalan tenaga elektrik hijau secara langsung daripada penjana TBB pihak ketiga, katanya.

Fadillah berkata tambahan pula, kerajaan sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara kedua bagi 2026 hingga 2035 untuk meningkatkan usaha dalam mengurangkan penggunaan tenaga negara.

“Menjelang 2026, kita menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pembiayaan baharu bank untuk menyokong aktiviti peralihan iklim atau tenaga,” katanya yang merujuk kepada penyepaduan daya tahan iklim dengan strategi kewangan yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan Sektor Kewangan Malaysia.