SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 5,617 notifikasi kemalangan membabitkan kejadian berbahaya dan penyakit pekerjaan melibatkan kakitangan kementerian itu pada tahun lepas.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata daripada jumlah itu, 2,836 kes melibatkan kemalangan di tempat kerja dan semasa berulang-alik, manakala 1,687 kes kecederaan tusukan jarum.
Beliau berkata selebihnya adalah penyakit pekerjaan lain antaranya dermatitis, tuberkulosis dan kehilangan pendengaran akibat bunyi bising.
“Fakta ini bukti jelas petugas kesihatan sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko di tempat kerja tetapi boleh dicegah dan dikawal melalui pengurusan kesihatan pekerjaan yang berkesan.
“Antara syarat penting untuk memastikan pengurusan itu berjalan dengan baik adalah penyediaan perkhidmatan kesihatan pekerjaan khusus untuk petugas kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat KKM 2025 (OSH Day 2025) di Institut Kesihatan Malaysia (NIH) di Setia Alam di sini hari ini.
Susulan itu, Dzulkefly berkata Garis Panduan Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan Di Fasiliti KKM (GP PKP) yang dilancarkan hari ini amat bertepatan bagi memastikan pengurusan kesihatan pekerjaan dapat diperkasakan.
Beliau berkata garis panduan itu menjadi tonggak penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan pekerjaan, selain berfungsi sebagai rujukan komprehensif bagi melindungi hampir 300,000 warga kerja KKM yang terdedah kepada risiko biologi, kimia, fizikal, ergonomik dan psikososial.
Dalam pada itu, beliau berkata keupayaan Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan (PKP) di KKM kini merangkumi 61 fasiliti kesihatan di seluruh negara, dengan 57 daripadanya menempatkan Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) secara khusus untuk melaksanakan fungsi utama perkhidmatan berkenaan.
Dzulkefly berkata keupayaan itu turut diperkukuh dengan aset klinikal yang terdiri daripada 28 unit audiometer dengan 17 pusat diiktiraf sebagai Pusat Ujian Audiometrik (ATC) serta 37 unit spirometer.
Beliau berkata PKP juga diintegrasikan dengan Inisiatif Kesihatan Paru-Paru (LHI) yang menggunakan teknologi sinar-X dada berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Inisiatif ini membolehkan pengesanan awal penyakit paru-paru berkaitan pekerjaan seperti tuberkulosis serta kanser paru-paru. Setakat ini, ia telah dilaksanakan di tujuh klinik kesihatan dan akan diperluaskan ke 150 klinik menjelang 2026,” katanya.
Terdahulu, Dzulkefly berkata OSH Day 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menghimpunkan lebih 500 peserta terdiri daripada petugas kesihatan, pembuat dasar, ahli akademik dan rakan strategik dari seluruh negara.
Dengan tema ‘Merevolusikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan: Peranan AI dan Pendigitalan di Tempat Kerja’, seminar itu memfokuskan bagaimana inovasi teknologi boleh meningkatkan perlindungan keselamatan, mencegah penyakit pekerjaan serta mengurangkan risiko di tempat kerja.
Turut diadakan sesi plenari mengenai pencegahan kecederaan tusukan jarum, aspek perundangan OSH, penggunaan analisis data AI, keselamatan makmal, latihan kemahiran promosi OSH serta penyertaan pameran 18 reruai daripada pelbagai pihak - Bernama