PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh usaha menjadikan keselamatan makanan sebagai budaya nasional, meliputi semua peringkat dari rumah hingga industri.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa isu keselamatan makanan bukan sekadar masalah tempatan tetapi cabaran global. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 600 juta orang di seluruh dunia jatuh sakit setiap tahun akibat penyakit bawaan makanan.
“Di Malaysia, walaupun terdapat penurunan 23 peratus kes keracunan makanan bagi tempoh Januari hingga Mei lepas (204 kes) berbanding tahun lepas, masih banyak ruang penambahbaikan terutama dalam meningkatkan literasi makanan dalam kalangan rakyat,“ katanya.
KKM menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pengiktirafan Premis Bersih Bebas Asap (BeBAS) dan Premis Bersih dan Selamat (BeSS). Selain itu, penubuhan Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) bertujuan menjadi pusat kecemerlangan dalam penilaian risiko dan dasar berasaskan sains.
Dzulkefly turut menyatakan bahawa Ekspo Makanan Selamat (eMAS) 2025 dan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan yang baru dilancarkan menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama pelbagai pihak.
“Matlamat utama adalah memastikan makanan yang dihidangkan setiap hari selamat, bersih, dan berkualiti,“ tambahnya.