Your Title

KUALA LUMPUR: Pemaju pembangunan Projek Bandar Malaysia, KLCC Development Sdn Bhd (KLCCD) merancang untuk mewujudkan sebuah pembangunan unik, inklusif dan berdaya huni serta merangkumi aspek komersial, perumahan dan rekreasi bercirikan kelestarian.

KLCCD ialah anak syarikat milik penuh KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH).

Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan aktiviti perancangan pembangunan itu juga akan mengambil kira fokus kerajaan terhadap keterangkuman semua lapisan masyarakat untuk menjadikan Bandar Malaysia sebuah bandar yang sesuai didiami serta menggalakkan integrasi sosial.

“Ini termasuk penyediaan 10,000 unit perumahan mampu milik dengan ruang terbuka dan taman, serta pemeliharaan sebahagian tanah seluas 50 ekar (20.23 hektar) sebagai Tanah Rizab Melayu.

“Projek Bandar Malaysia ini akan dibangunkan secara terkawal untuk memastikan daya maju komersialnya, dengan mengambil kira dinamik permintaan dan penawaran dalam pasaran hartanah,” jelas MOF dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis.

MOF menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai rancangan pembangunan Bandar Malaysia susulan pengambilan oleh KLCCH melibatkan kawasan tanah seluas 196.68 hektar di Bandar Malaysia.

Menurut MOF berdasarkan saiz tanah Bandar Malaysia, keseluruhan pembangunan dijangka mengambil masa sekitar 50 tahun.

MOF meyakini berdasarkan pengalaman dan kepakaran KLCCD dalam pembangunan hartanah, syarikat itu mampu merealisasikan pembangunan Projek Bandar Malaysia sekali gus menambahkan nilai substantif kepada ekonomi negara, yang seterusnya memberikan faedah kepada rakyat.

Projek Bandar Malaysia telah diambil alih oleh Kumpulan Petroliam Nasional Bhd melalui penjualan tanah seluas 486 ekar (196.68 hektar) oleh Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) kepada KLCCH, tambah kementerian itu.

“Transaksi strategik ini telah dirunding antara dua syarikat berkaitan kerajaan tersebut atas dasar ‘willing buyer - willing seller’ yang mengambil kira matlamat strategik dan sosial negara dalam pembangunan projek Bandar Malaysia untuk tempoh jangka masa panjang,” menurut MOF.