PUTRAJAYA: Tiga individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik komen yang bersifat lucah melalui aplikasi media sosial Facebook, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan siasatan pihaknya mendapati kandungan dimuat naik pada platform media sosial ketiga-tiga individu berkenaan melibatkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi seorang doktor.

“Penggunaan perkataan lucah tersebut ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom,“ kata MCMC.

Sebagai rekod, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati, atau mengganggu orang lain yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, MCMC mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata jelik dan menjijikkan, atau dalam kes berkenaan kata-kata yang bersifat seksual tentang alat sulit bayi perempuan adalah tindakan tidak bermoral dan melanggar undang-undang.

Orang ramai diseru untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang melibatkan kanak-kanak.

Suruhanjaya itu berkata ia akan terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak sesekali berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak.