KUALA LUMPUR: Susulan penahanan tiga lelaki disyaki pengedar dadah di Cheras Isnin lepas, polis menyerbu sebuah unit kondominium mewah di Cheras Perdana di sini, yang didapati dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah bagi pasaran Lembah Klang, pada hari yang sama.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pada mulanya polis merampas dadah disyaki ketamin dianggar seberat 10.5 kilogram (kg) bernilai lebih RM500,000 yang ditemukan dalam beg yang dipegang seorang daripada tiga lelaki berumur 23 hingga 30 tahun itu.

Beliau berkata hasil soal siasat, polis kemudiannya menyerbu kondominium berkenaan dan menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi dadah disyaki ekstasi seberat 5.2kg dan dua bungkusan ketamin seberat 4kg, menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.6 juta.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini, beliau berkata turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM900,000; barangan kemas bernilai RM4,000 dan kereta Produa Myvi dengan nilai semasa RM62,000.

Rusdi berkata siasatan juga mendapati modus operandi sindiket berkenaan menjadikan unit kondominium yang disewa itu sebagai stor simpanan dadah untuk edaran pasaran Lembah Klang, dan bekalan dadah itu diperoleh daripada luar negara.

“Dua daripada tiga suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan ketamin. Suspek direman sehingga 9 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.