PUTRAJAYA: Kerajaan memastikan pembayaran insentif pembajakan dan penuaian kepada pesawah akan selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai ini, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam kenyataan hari ini, Mohamad menyatakan jumlah keseluruhan insentif berkenaan ialah RM210, dengan RM160 untuk pembajakan dan RM50 untuk penuaian.
Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (FSCC) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Jun lalu.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan strategi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu dan kerbau, serta pembangunan pangkalan data Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen penting dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara.
“Kerajaan juga bersetuju meneroka strategi mengurangkan kebergantungan import jagung bijian dan meminda Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 bagi perlindungan lebih komprehensif,“ kata Mohamad.
Selain itu, kerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) diperkukuh melalui pengenalan silibus baharu untuk pengendali dron pertanian.