• 2025-06-28 03:26 PM

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan melawat Galeri TAPAK milik pelukis terkenal Yusof Ghani di Seksyen 8 di sini.

Lawatan selama 40 minit itu memberi peluang kepada baginda untuk melihat koleksi karya Yusof yang pernah dipamerkan di dalam dan luar negara.

Antara karya yang menarik perhatian baginda ialah Segerak, Biring, Wajah, dan Ombak. Galeri yang beroperasi sejak 2009 itu mempamerkan pelbagai hasil seni Yusof yang terkenal dengan gaya ekspresif dan simbolik.

Sultan Sharafuddin turut melancarkan buku terbaharu Yusof bertajuk ‘Cenderawasih Energy and Emotion’ yang dihasilkan pada 2022.

Baginda juga berpeluang menyaksikan demonstrasi melukis karya terbaharu Yusof yang terinspirasi daripada burung Cenderawasih.

Yusof Ghani, yang memulakan karier seninya pada 1980-an, telah memamerkan karya di pelbagai negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, Jepun, United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Amerika Syarikat, dan Kanada.

Selain karya terkenal seperti Tari, Protest, Topeng, Wayang, dan Hijau, beliau terus aktif menghasilkan karya baharu.