KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang kontraktor disyaki membuat tuntutan mengandungi butir matan palsu berkaitan pembekalan pakaian korporat sebuah pejabat pendidikan daerah bernilai kira-kira RM12,500.

Menurut sumber, lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 3 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai membuat tuntutan palsu terbabit pada tahun lepas, sedangkan pembekalan berkenaan hanya bernilai kira-kira RM4,500.

Sumber memaklumkan wang tunai kira-kira RM8,000 disita daripada seorang pegawai pendidikan daerah kerana disyaki wang pembekalan yang tidak dilaksanakan.

Wang itu dipercayai diserahkan lelaki berkenaan kepada pegawai itu pada akhir tahun lepas, namun siasatan lanjut mengenainya sedang dilakukan.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.