IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa peserta konvoi bermotosikal menjadi duta kecil dalam mempromosikan pelancongan domestik menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarah MOTAC Negeri Perak, Muhammad Aminuddin Abdul Majid, berkata peserta konvoi berpeluang meneroka destinasi pelancongan sambil membantu mempromosikan tarikan tempatan.
“Secara tidak langsung mereka akan menjadi tukang cerita atau duta kecil pelancongan, seni dan budaya di tempat mereka lawati dengan aktiviti serta kandungan media yang mereka akan cipta,“ katanya.
Beliau menambah, perkongsian pengalaman melalui media sosial mampu menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara, sekaligus merancakkan ekonomi setempat.
Ucapan itu disampaikan semasa melepaskan peserta Program Jejak Warisan Pantai Timur 2025 bersama Ketua Pegawai Eksekutif 1969 Business Suite, Tony Wong.
Lebih 50 peserta dari pelbagai kelab motosikal menyertai konvoi selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 Jun. Program anjuran Kelab Motosikal Salam Taiping ini bertujuan mempromosikan warisan budaya dan destinasi pelancongan di Pantai Timur.
Pengerusi Program, Mohd Nordin Mohd Yusoff, berkata persiapan konvoi sejauh 1,185 kilometer mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Konvoi melalui Perak, Pahang, Terengganu, dan Kelantan sebelum berakhir di Dataran Warisan Taiping. Antara destinasi utama termasuk Cherating, Kuala Terengganu, Kota Bharu, dan Rantau Panjang,“ jelasnya.
Program berasaskan konsep “Ride & Learn” ini menggabungkan minat bermotosikal dengan pembelajaran sejarah dan budaya tempatan.