PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggagalkan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi selepas menyerbu premis yang dijadikan stor penyimpanan dan pengedaran bahan api itu di Kawasan Perusahaan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah, Ahad lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan hari ini berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkaitan berat isi padu tong LPG yang disyaki kurang daripada berat sepatutnya.

“Pemeriksaan terhadap premis itu menemukan 675 tong gas kosong pelbagai jenama di dalam dua lori dan rak, manakala pemeriksaan awal mendapati premis terbabit tidak mempunyai lesen borong atau runcit yang sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),” katanya.

Beliau berkata susulan itu, anggota penguat kuasa KPDN telah menyita 94 tong gas pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 12kg, sebuah lori serta beberapa dokumen perniagaan lain bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 20(1) Akta 122 kerana menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan.

Menurut Armizan seorang lelaki berusia 42 tahun yang juga pemilik premis turut ditahan untuk siasatan, manakala keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM23,000.

“KPDN memberikan amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

“KPDN ingin memberikan peringatan kepada semua pihak dan menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk menjual LPG tanpa lesen yang sah selain menjual LPG yang tidak mencukupi berat isi padu gasnya,” katanya.