IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 225 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai saiz serta dua lori bernilai RM466,895.65 dalam operasi di Zarib Industrial Park dan Tanjung Malim.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata operasi Op Gasak itu menemui 14 tong LPG berkapasiti 50 kilogram (kg), 171 tong LPG 14 kg, dan 40 tong LPG 12 kg.
“Serbuan pertama sekitar jam 11.30 pagi di Tanjung Malim dilakukan oleh pasukan penguat kuasa dari Cawangan KPDN Tapah di sebuah premis stor penyimpanan LPG tanpa kelulusan sah.
“Serbuan kedua pada jam 1 tengah hari di kilang pemprosesan makanan di Zarib Industrial Park pula mendapati LPG digunakan tanpa lesen,“ katanya dalam kenyataan.
Dua lelaki tempatan berusia 41 dan 49 tahun serta seorang wanita 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – Bernama