SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas 7,860 unit pes udang tiruan dianggarkan bernilai RM50,000 susulan serbuan terhadap sebuah kilang di Taman Perindustrian Pandamaran, Klang dekat sini semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri Mohd Khairi Jamaludin berkata serbuan kira-kira 12 tengah hari itu dijalankan hasil aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar mengenai terdapat aktiviti terbabit di premis berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati premis itu menjual pelbagai barangan mentah sejuk beku termasuk pes udang disyaki menggunakan cap dagang palsu.

“Pemeriksaan lanjut menemukan pes itu yang turut dibuat pengesahan awal oleh wakil cap dagang ketika serbuan dan tindakan sitaan dilakukan pada barangan terbabit.

“Perbuatan berkenaan merupakan kesalahan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata seorang lelaki berumur 27 tahun dipercayai pekerja stor premis itu turut disiasat.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan dan tidak berkompromi menguatkuasakan undang-undang terutama melibatkan perlindungan harta intelek.