PENAMPANG: Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menahan seorang lelaki dan menyita lori yang dipandunya selepas didapati membawa 206 liter minyak diesel bersubsidi disyaki cuba diseleweng.
Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata pihaknya yang melakukan Op Tiris di sekitar Penampang hari ini telah mengesan lelaki berusia 31 tahun itu membuat pembelian minyak diesel untuk lori terbabit di sebuah stesen minyak di daerah itu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati lori itu memiliki tangki tambahan jenis fiber di bahagian belakang kenderaan tersebut yang berisi 206 liter minyak diesel.
“Pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan diesel di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
“Nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM30,442.90 dan pemandu lori itu ditahan bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Georgie berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.