SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bercadang menambah kawasan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di seluruh negara bagi meningkatkan dan menjamin pengeluaran hasil pertanian sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber import.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata ia antara usaha bagi memastikan keterjaminan bekalan makanan untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.

Beliau berkata sebanyak RM491 juta diperuntukkan KPKM melalui Jabatan Pertanian di bawah Rancangan Malaysia Kelapan hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi melaksanakan pembangunan TKPM.

“Kalau kita tengok keperluan kepada makanan negara, ia semakin meningkat. Kita punya kebergantungan kepada makanan import masih terlalu tinggi, bermakna usaha perlu dilipatgandakan untuk meningkatkan hasil pengeluaran makanan negara kita sendiri.

“Kita ada perancangan (tambah kawasan). Setakat RMK-12 kita sudah berjaya mencapai sasaran bilangan TKPM. Kita dalam perancangan untuk memohon lagi supaya lebih banyak TKPM dalam Rancangan Malaysia Ke-13 nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Projek TKPM Jabatan Pertanian 2024 di sini hari ini.

TKPM antaranya diwujudkan berdasarkan kepada empat objektif iaitu mewujudkan zon pengeluaran kekal bagi menjamin keselamatan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran makanan yang mampan, berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Selain itu, ia bertujuan meningkatkan pendapatan bersih kepada peserta melalui produk ladang untuk mencapai sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan dan keempat untuk membangun dan meningkatkan penglibatan sektor swasta, usahawan dan golongan belia dalam bidang pengeluaran makanan secara komersial melalui amalan teknologi moden dan inovasi pertanian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi berkata TKPM ketika ini mampu mengeluarkan hasil pertanian sebanyak 85 peratus daripada sasaran 90,000 tan metrik setahun menerusi 74 kawasan melibatkan tanah seluas 10,614 hektar di seluruh negara.

Nor Sam dalam ucapannya berkata defisit pengeluaran berlaku ketika COVID-19 melanda dunia menyebabkan hasil pertanian tidak dapat dipasarkan secara optimum.

“Sekarang mereka dalam proses pemulihan dan ambil masa sebab dengan kos pengeluaran yang tinggi, tengok mereka secara perlahan-perlahan pulih dan boleh dapat balik kepada momentum asal pengeluaran mereka,” katanya.