Your Title

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Jabatan Pertanian menyasarkan nilai eksport orkid negara ditingkatkan hingga RM4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding RM9.3 juta yang dicatatkan pada 2022.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sasaran itu mampu dicapai antaranya melalui pengeksportan orkid ke negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu satu penerokaan pasaran baharu yang mampu menjana pendapatan tinggi.

“Ia (eksport orkid) satu penerokaan pasaran baharu dan satu daripada pendapatan baharu yang akan boleh diusahakan oleh mereka yang terlibat dalam perusahaan orkid ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Flag-off Malaysian Orchid Miracle Mokara ke Radisson BLU Dubai Deira Creek, UAE di sini hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Mohamad berkata KPKM sentiasa memberikan tumpuan khusus kepada komoditi bernilai tinggi seperti orkid bagi meningkatkan eksport produk pertanian negara.

“Nilai eksport industri florikultur negara yang kini mencecah sekitar RM300 juta setahun dijangka meningkat dengan pembukaan pasaran baharu di negara Timur Tengah seperti UAE, sekali gus memperkukuh sumbangan sektor ini kepada nilai eksport pertanian negara,” katanya.

KPKM melalui Jabatan Pertanian telah membangunkan konsep ladang eksport orkid yang dikenali sebagai Ladang Eksport Orkid Dubai (LEOD) sejak 2021.

Dengan kerjasama pihak industri seperti ORCHIDMAS, produk nilai tambah orkid Mokara (Golden Gift-box Mokara), yang dikenali sebagai Miracle Mokara telah dibangunkan untuk pasaran premium khususnya rangkaian hotel mewah di Dubai, menurut kenyataan itu.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Nor Sam Alwi.