IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM28 juta untuk pembangunan infrastruktur awam dan sosioekonomi di Perak, kata Menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi Pembangunan Landskap Perbandaran Ipoh di persekitaran Sungai Kinta bermula dari Jambatan Sultan Iskandar hingga ke Jambatan Jalan Leong Boon Swee dengan anggaran keluasan 5.7 hektar.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memperuntukkan RM5 juta untuk pembangunan landskap sepanjang Sungai Kinta.

“Projek ini mampu menawarkan tarikan pelancongan seterusnya meningkatkan imej bandar raya Ipoh,“ katanya pada sidang media selepas majlis pecah tanah pembangunan kompleks parkir dan ruang komersial di Jalan Panglima di sini hari ini.

Nga berkata selain itu, projek menaik taraf tapak pelupusan sisa pepejal di Teluk Cempedak, Pulau Pangkor di kawasan seluas 3.16 hektar dengan jumlah peruntukan berjumlah kira-kira RM21 juta membabitkan pelbagai skop kerja.

Beliau berkata antaranya menambak sebahagian daripada kawasan laut terbuka bagi tujuan pembinaan tapak, penyediaan sistem bekalan elektrik, air dan jalan raya berturap yang lengkap untuk kegunaan tapak apabila siap diguna pakai.

Nga berkata pembangunan kompleks parkir lima tingkat di kawasan seluas 0.4 hektar bakal dilengkapi 353 petak letak kenderaan dan ruang komersial di aras bawah serta bumbung yang akan menempatkan pusat budaya kreatif dan ruang kedai makanan.

“Kompleks parkir ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta sebuah syarikat swasta yang melabur sebanyak RM15 juta untuk membangunkannya.

“Pembinaan parkir bertingkat ini mampu menyelesaikan masalah parkir dan kesesakan lalu lintas khususnya di kawasan tumpuan pelancong di Pekan Lama Ipoh yang merupakan tumpuan pelancong,“ katanya.