• 2025-10-12 02:13 PM

MELAKA: Kementerian Pendidikan akan memberikan sokongan emosi kepada pelajar tingkatan tiga yang disyaki menjadi mangsa salah laku seksual di sebuah sekolah di sini minggu lepas.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata remaja perempuan itu sedang menerima rawatan di sebuah hospital dan mendapat sokongan emosi daripada petugas perubatan.

Beliau menyatakan semua tindakan telah diambil oleh bahagian masing-masing khususnya untuk perlindungan kanak-kanak tersebut.

Fadhlina berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan Jabatan Pendidikan Melaka dan polis Melaka.

Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar juga hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata kementerian turut menguruskan perkara berkaitan disiplin dan sokongan emosi kepada guru serta pelajar di sekolah berkenaan.

Kaunselor akan turun memberikan sokongan penuh kepada warga sekolah dan anak-anak.

Kementerian memberi tumpuan penuh kepada guru yang mengajar dan pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Fadhlina menekankan keutamaan diberikan kepada persiapan mereka untuk menghadapi SPM supaya tidak terganggu dengan kes ini.

Beliau menambah kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang selanjutnya.

Mengulas mengenai empat pelajar lelaki itu pula, Fadhlina berkata mereka akan dibenarkan mengambil peperiksaan SPM bermula pada 3 November ini.

Semalam, Dzulkhairi mengesahkan empat pelajar tingkatan lima direman enam hari bermula dari semalam hingga 16 Oktober.

Mereka disyaki melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di sini minggu lepas.

Kejadian terbabit dikatakan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lepas di dalam sebuah kelas.

Perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.

Insiden itu terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video berkenaan daripada guru sekolah.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai insiden tersebut. – Bernama