KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu memperhebat usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi daya saing masa depan Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan.
“Kita perlu terima hakikat bahawa tahap penguasaan bahasa Inggeris adalah sangat penting,“ katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 Kumpulan AmBank.
Anwar menekankan bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan dan mesti dipertahankan sebagai ejen penyatuan.
“Saya tidak boleh menerima rakyat Malaysia yang tidak mahir dalam bahasa kebangsaan,“ tegasnya.
Perdana Menteri turut menekankan kejayaan Malaysia bergantung kepada dasar inklusif yang merangkul semua masyarakat tanpa mengira kaum.
“Negara ini hanya akan berjaya jika kita mempunyai dasar yang jelas untuk merangkul setiap rakyat Malaysia,“ katanya.
Anwar berkata tiada sebab untuk meminggirkan usaha menguasai bahasa Inggeris atau bahasa lain.
“Tiada sebab kenapa kita perlu pinggirkan usaha meningkatkan tahap penguasaan dalam bahasa Inggeris, Cina, Tamil, Arab atau Perancis,“ ujarnya. – Bernama