• 2025-08-26 08:56 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengambil kira semua aspek termasuk kemungkinan insiden pergaduhan, gejala buli atau unsur lain dalam siasatan dalaman susulan kejadian pelajar tingkatan tiga terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata pihaknya sedia memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi melengkapkan siasatan menyeluruh.

“KPM percaya pihak polis akan dapat melaksanakan tanggungjawab dan tugas dengan baik dan akhirnya akan memberikan laporan siasatan yang terperinci berhubung dengan kejadian yang berlaku ini,“ katanya.

Mohd Azam berkata KPM juga akan melihat sama ada pihak sekolah mematuhi Garis Panduan Sekolah Selamat berkaitan dengan pengendalian kes buli dan gangguan seksual.

Beliau menjelaskan dalam keadaan kecemasan guru memberikan keutamaan kepada keselamatan pelajar untuk dibawa ke hospital dengan segera.

“Difahamkan pada 3.20 pagi ambulans tiba di sekolah dan 20 minit kemudian murid terbabit sampai ke Hospital Sabak Bernam,“ katanya.

Mohd Azam berkata pelajar yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh itu kini ditidurkan.

“Fokus setakat ini adalah pada kecederaan kepala dan juga kecederaan otak pelajar,“ katanya.

Beliau berkata Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah berkenaan telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga proses siasatan selesai.

“Penempatan sementara ini adalah untuk mengelakkan mereka daripada tekanan emosi berikutan dengan kejadian yang berlaku,“ katanya.

Mohd Azam berkata pihak sekolah juga telah diarahkan mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat untuk mendoakan pelajar berkenaan.

“Kementerian merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa murid atas kejadian yang telah berlaku,“ katanya.

Terdahulu media melaporkan pelajar terbabit berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. – Bernama