KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menempatkan seramai 13,749 guru baharu setakat tahun ini dalam usaha menyelesaikan isu kekurangan guru secara berperingkat dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata setakat 31 Okt lepas, pengisian guru sekolah rendah adalah sebanyak 97.62 peratus manakala pengisian guru sekolah menengah sebanyak 95.16 peratus.

“Kita sentiasa memastikan pengisian guru itu back to back. Pengisian itu juga mesti melihat kepada opsyen apa yang kita dapati kekurangan dan sebagainya dalam pendidikan, jadi soal berkaitan kekurangan guru ini kita sedang tangani bersungguh-sungguh.

“Kita yakin dan percaya dengan keupayaan SPP bersama KPM kita akan dapat selesaikan isu ini secara berperingkat dan berterusan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata pengisian perjawatan bagi Anggota Kumpulan Pelaksana meningkat kepada 97 peratus setakat 30 Nov lepas berbanding 84 peratus pada 2023.

Beliau berkata usaha mengoptimumkan perjawatan itu adalah sebahagian usaha Kerajaan MADANI bagi mengurangkan beban guru dalam aspek pengurusan dan pentadbiran.

Fadhlina juga berkata beliau telah mengarahkan Jemaah Nazir KPM untuk membuat penaziran kepada tujuh langkah kementerian bagi mengurangkan beban guru seperti diumum sebelum ini dalam usaha memastikan isu itu dapat ditangani sepenuhnya.

“Kalau kita hanya umumkan tujuh langkah tapi tidak ada kenaziran, tiada sesiapa yang melihat sama ada ia efektif ataupun tidak, saya bimbang ia akan hanya menjadi tujuh langkah tetapi tidak diikuti dan tiada tindakan susulan bagaimana kita harus menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Antara langkah tersebut ialah memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid dan pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia tahun 2023 membabitkan guru kepada setahun sekali sahaja.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM64,190,049,400 yang diperuntukkan kepada KPM dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 26 Ahli Parlimen.