TUMPAT: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menghebahkan maklumat gangguan perjalanan tren sekiranya terdapat landasan yang ditenggelami banjir susulan musim tengkujuh akan datang ini.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha berkata ini termasuk jika ada tren yang mengalami kelewatan tiba di stesen KTMB atau tren yang tamat di stesen perantaraan.

Beliau berkata kesemua maklumat berkenaan akan dihebahkan menerusi sistem pesanan khidmat ringkas (SMS), media sosial KTMB, radio dan televisyen.

“Oleh itu, pengguna KTMB diminta sentiasa bersedia dengan segala hebahan maklumat KTMB yang disiarkan agar tidak terlepas.

“Selain itu, KTMB juga akan mengambil tindakan membaiki landasan yang rosak atau terjejas akibat banjir bagi melancarkan operasi perjalanan tren,” katanya kepada pemberita pada Program Abadikan Momen Istimewa Bersama Atlet “Lejen” (Tren Khas Kelab Sukan KTM KL) di Padang Bola Sepak KTMB di sini hari ini.

Mohd Zain berkata KTMB juga akan membuka bilik gerakan banjir bagi memantau situasi banjir selain turut menjadi ahli jawatankuasa banjir di Kelantan dan Pahang untuk persiapan dan latihan kepada petugasnya menghadapi bencana itu.

“Segala aset seperti bot, pelampung dan jaket keselamatan diberi kepada petugas KTMB untuk menghadapi banjir di stesen tren masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta pemilik haiwan ternakan agar mengawal dan mencegah binatang ternakan mereka daripada memasuki landasan tren.

“Ia bagi mengelakkan berlaku kes kemalangan melibatkan binatang ternakan yang boleh mengganggu perjalanan tren sekali gus merugikan kedua-dua pihak,“ katanya.