KUALA LUMPUR: Kunjungan dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang pada 5 Okt lepas dibuat mengikut permohonan diplomatik daripada kedutaan China dan tidak melanggar sebarang peraturan Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia juga selaras Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China dengan kunjungan itu telah mendapat persetujuan Kementerian Pertahanan dan kelulusan diplomatik Kementerian Luar untuk kapal berlabuh.

“Yang lain-lain adalah urusan kerajaan negeri tetapi permohonan diplomatik daripada kedutaan China jelas ada memohon,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai pendirian dan tindakan kerajaan susulan sambutan kedatangan kapal berkenaan di Pulau Pinang yang disifatkannya memberikan mesej yang salah kepada rakyat.

Mohamad berkata kunjungan itu tidak melibatkan sebarang pelanggaran peraturan negara ini, namun sekiranya ada, perkara itu akan disiasat.