SHAH ALAM: Kutipan bayaran parkir kenderaan di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dikendalikan oleh syarikat konsesi baharu, Rantaian Mesra Sdn Bhd, mulai 1 Ogos ini.
Pelantikan syarikat itu diluluskan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor bagi meningkatkan hasil kutipan parkir yang kini hanya mencapai sekitar 30 peratus.
Empat PBT terlibat ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Ng Suee Lim berkata perubahan ini bertujuan meningkatkan hasil kutipan serta menangani masalah parkir berlapis di kawasan sibuk.
“Kita menyasarkan hasil kutipan parkir akan meningkat lebih 60 peratus dan dalam masa yang sama dapat menangani masalah parkir berlapis terutamanya di kawasan yang sibuk,“ katanya.
Syarikat konsesi akan memperoleh 50 peratus hasil kutipan, manakala baki 50 peratus dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan PBT menerima 40 peratus dan MBI Selangor 10 peratus.
Ng menegaskan pelantikan syarikat itu dibuat secara telus melalui Permintaan Untuk Cadangan (RFP) dengan 26 syarikat berminat sebelum tiga syarikat disenarai pendek.
“Konsesi yang terpilih dikenakan syarat ketat dan perlu meningkatkan hasil kutipan dalam tempoh tertentu. Kontrak boleh dibatalkan jika syarat tidak dipenuhi,“ jelasnya.
Beliau juga menafikan dakwaan tender tertutup atau pemberian kontrak terus, menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.
Kadar bayaran parkir dijangka kekal berpatutan antara 40 sen hingga 60 sen sejam tanpa kenaikan. – Bernama