Your Title

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah reformasi awal yang dilaksana kerajaan membuahkan hasil bukan sahaja dari sudut peningkatan pelaburan, malah Malaysia menerima pengiktirafan dari negara luar tentang kesungguhan kerajaan, penjawat awam dan sektor awam melaksanakan program perubahan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 yang menjadikan kerajaan lebih berdisiplin dalam fiskal dan ekonomi negara diurus dengan lebih baik.

“FRA itu bermakna Menteri Kewangan mengambil keputusan menyerahkan sebahagian tugasnya supaya dipantau secara langsung oleh Parlimen, dia tidak terlepas seperti biasa. Itu sebab saya lakukan, kerana ini juga akan bantu menambah keyakinan kepada masyarakat, pelabur domestik dan luar negara,“ katanya semasa berucap di perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Anwar berkata negara tidak dapat diselamatkan dari hutang yang tinggi sekiranya tidak diperbetulkan pengurusan kewangan, defisit tidak dikurangkan dan pengurusan belanjawan tidak dilakukan secara lebih berhemah.

“Sejak awal mengemudi pentadbiran ini, kita tekankan soal tatakelola. Banyak wacana dan perbahasan mengenai isu tadbir urus dan mengapa perang rasuah dengan keras. Ada pandangan menyatakan kita harus ambil pendekatan yang lunak dan lumayan, jalankan kerja seperti biasa dan ini bukan pilihan kita.

“Saya yakin Malaysia punyai keupayaan untuk diangkat martabat dan darjatnya sebagai negara maju, tetapi harus bermula dari pimpinan yang punyai integriti dan penjawat awam yang mengikut kehendak perubahan sedaya-upaya. Tiada makna pimpinan baharu nak pertahankan semua kaedah lama...yang baik kita manfaatkan, tapi kebiasaan untuk menggondol kekayaan dan memperkayakan pimpinan, tidak boleh,“ katanya.

Anwar berkata kerajaan tekad untuk terus tegas dalam isu memerangi rasuah meskipun ada bantahan dan tuntutan supaya kontroversi berkaitnya dikurangkan.