ISKANDAR PUTERI: Sebanyak lapan resolusi penting akan diteliti untuk dilaksanakan bagi memperkukuh peranan agensi agama dalam tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata resolusi itu disyorkan menerusi Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 yang diadakan baru-baru ini.
Beliau berkata ia merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus termasuk mengoptimumkan fungsi Jabatan Kemajuan Islam sebagai badan peneraju industri (industry lead body- ILB).
“Memperkasakan jaringan kerjasama strategik dan kolaborasi sektor awam, swasta dan komuniti dalam usaha pengislahan ummah secara bersepadu dan berkesan bermula dari peringkat awal usia kanak-kanak.
“Selain itu, melestari transformasi perkhidmatan hal ehwal Islam agar kekal relevan dan mendepani cabaran melalui kajian berkualiti, pembangunan dasar bersifat inklusif dan memberi impak signifikan terhadap pembangunan ummah melalui peruntukan bersesuaian untuk pelaksanaan kajian,“ katanya pada Majlis Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata resolusi itu antara lain memfokuskan usaha membangunkan kompetensi menyeluruh menerusi perkongsian kepakaran dalam penempatan silang agensi agama dalam dan luar negara yang diiktiraf sebagai praktis terbaik dalam tatakelola tadbir urus organisasi.
Beliau berkata selain itu, penstrukturan pembangunan agensi hal ehwal agama Islam menerusi pertambahan perjawatan atase agama di luar negara, perjawatan di agensi badan berkanun Persekutuan atau negeri dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Kita juga akan meneliti untuk menambah baik infrastruktur dan penyelenggaraan institusi agama agar memenuhi keperluan dalam penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.
“Seterusnya, melatih dan menyediakan pelapis ulama muda menerusi program atau latihan berimpak tinggi dan berstrategi bagi memastikan penyampaian dakwah secara berkesan kepada ummah,“ katanya.
Mohd Na’im berkata jaringan maklumat dan data juga akan diperkasakan menerusi reformasi digital secara bersepadu antara agensi agama dan agensi lain agar kebolehcapaian data dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, pantas dan tepat.
Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 merupakan antara pengisian IJPAM 2025 yang diadakan di Johor selama enam hari bermula 8 Sept lepas dengan menghimpunkan 20 agensi agama dan 2,400 penyertaan.
Turut diadakan Seminar Halal Serantau, Pameran Perkhidmatan dan Industri Halal sempena Seminar Halal Serantau, Program Semarak Subuh dan Fun Run serta Kejohanan Sukan - BERNAMA