KOTA BHARU: Lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan kerana disyaki menculik seorang lelaki di Pasir Puteh disambung reman dua hari bermula esok.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid hari ini selepas membenarkan permohonan polis.
Siasatan lanjut akan dilakukan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 385, 342 dan 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.
Kesemua suspek memakai baju lokap polis berwarna oren dan menutup muka ketika tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada pukul 8.30 pagi.
Mereka yang berusia antara 20 hingga 46 tahun ditahan pada 26 September lepas dalam beberapa serbuan berasingan.
Operasi polis itu dilaksanakan di enam lokasi sekitar Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat.
Mangsa culik berjaya diselamatkan oleh pihak polis dalam operasi tersebut.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata mangsa dikurung di sebuah rumah tidak bernombor di Cherang Ruku, Pasir Puteh.
Suspek didakwa meminta wang tebusan sebanyak RM150,000 daripada majikan mangsa.
Polis turut merampas pelbagai barangan bukti termasuk 15 telefon bimbit dan tiga kenderaan.
Barangan rampasan lain termasuk seutas rantai besi bersama lima mangga, pelitup muka, pengikat kabel serta pakaian yang dipakai semasa kejadian. – Bernama