• 2025-08-21 09:22 PM

KUALA LUMPUR: Laporan terperinci berhubung cadangan pengharaman rokok elektronik atau vape sedang dilengkapkan jawatankuasa kepakaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan laporan berkenaan akan dibentangkan kepada jemaah Kabinet kelak tanpa mendedahkan garis masa proses menyiapkan laporan itu.

Beliau berkata laporan itu turut mengambil kira penggunaan kandungan terlarang dalam cecair vape, termasuk dadah.

“It is no longer if we ban, but when will we ban. Ini menjadi isi kepada laporan yang akan diangkat kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet.

“Perkara ini saya dah sebut beberapa kali dan saya ulang sekali lagi, langkah seterusnya adalah untuk mengharamkan (vape) yang dicemari (dengan dadah),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menangani vape berisi dadah yang semakin berleluasa seperti di Singapura.

Dzulkefly berkata selain peranti vape itu sendiri, KKM juga melihat isu itu secara keseluruhan, termasuk kesan seperti vape induced lung injury (EVALI).

Bagaimanapun, beliau menegaskan pengharaman vape tidak boleh dilakukan serta-merta, berikutan kerajaan telah menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang menetapkan industri vape membuat pendaftaran dan dikawal selia secara sah.

“Jadi wujudnya di bawah undang-undang, iaitu legitimate expectation yang kita tahu jika kita haramkan serta-merta (sedangkan) kita telah bangunkan Akta 852 itu ... ,” katanya.

Akta 852 yang diwartakan pada 2 Feb 2024 telah berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya pada 1 Okt 2024.

Dzulkefly berkata beliau akan mengusulkan isu vape supaya dimasukkan dalam agenda Mesyuarat Menteri-menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) pada tahun hadapan supaya masalah itu bukan sahaja dapat ditangani pada peringkat nasional tetapi serantau. – Bernama