• 2025-08-23 07:23 PM

GEORGE TOWN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bersama pihak berkuasa terlibat dalam proses menyiapkan laporan kejadian tanah runtuh di Jalan Paya Terubong, Ayer Itam, Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata laporan berkenaan akan menjadi rujukan kepada semua pihak bagi merangka langkah pembaikan jangka panjang, sekali gus memastikan keselamatan di kawasan berkenaan.

“Semua pihak berkepentingan seperti JKR, Bahagian Geoteknik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah hadir ke lokasi kejadian dan kini dalam proses menyediakan laporan untuk tindakan bersama,” katanya kepada Bernama hari ini.

Zairil berkata pemeriksaan secara visual dan pemerhatian lanjut juga dilaksanakan sejak hari kejadian serta mendapati tiada runtuhan susulan.

Beliau berkata bagaimanapun pemantauan berterusan masih dijalankan dan tindakan pembaikan secara kekal akan dilaksanakan sebaik semua input dari jabatan teknikal diperoleh.

Hujan lebat lebih tiga jam pada Khamis lepas telah mengakibatkan tanah runtuh di cerun berhampiran kediaman penduduk di Jalan Paya Terubong di sini, namun kejadian berdekatan dengan tiga rumah dibina di kawasan lereng bukit di situ tidak melibatkan sebarang mangsa.

Zairil berkata JKR telah mengambil langkah segera dengan memasang kanvas plastik pada permukaan cerun yang runtuh selepas menerima aduan mengenai kejadian bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah selain mengelakkan kesan langsung hujan terhadap struktur cerun berkenaan.

Mengenai keadaan kediaman berhampiran kawasan terlibat, beliau berkata semakan mendapati rumah di bahagian bawah tidak berpenghuni dan hanya dijadikan stor simpanan barang serta menasihatkan agar penduduk kekal berwaspada.

Beliau berkata pemerhatian terhadap rumah di bahagian atas pula mendapati ia dibina di lereng bukit dengan sambungan tambahan sehingga ke tebing cerun.

“Binaan struktur atau pengubahsuaian rumah tanpa reka bentuk yang komprehensif boleh mendatangkan risiko kepada penghuni,” katanya.

Zairil berkata sebagai langkah jangka panjang, kajian menyeluruh terhadap keselamatan perumahan di lereng atau cerun bukit perlu dilaksanakan selain tindakan penguatkuasaan terhadap struktur tambahan yang dibina tanpa perancangan rapi - BERNAMA