KUCHING: Lawatan kerja Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke ibu pejabat Siemens Energy di Berlin membuka peluang kerjasama baharu dalam teknologi pengeluaran hidrogen.
Beliau menyatakan lawatan itu memberi ruang kepada Sarawak untuk menimba pengalaman dan memanfaatkan teknologi canggih syarikat tenaga global tersebut.
“Teknologi elektroliser Siemens mampu menghasilkan hingga 350 kilogram hidrogen sejam, berbanding kapasiti semasa Sarawak sekitar 130 kilogram sehari,” katanya.
Abang Johari menekankan teknologi itu sebagai peluang besar untuk meningkatkan kecekapan dan kapasiti pengeluaran hidrogen pada masa hadapan.
Perbincangan telah dibuat antara Siemens Energy, Sarawak Energy Berhad dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mengkaji bentuk kerjasama yang sesuai.
Mengiringi beliau dalam lawatan itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Sri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri Utiliti Datuk Ibrahim Baki.
Selain teknologi elektroliser, kerajaan Sarawak turut berminat meneroka kerjasama dalam pembangunan turbin gas serta Pusat Inovasi Siemens.
“Teknologi turbin gas Siemens boleh diaplikasikan di Samalaju termasuk penaiktarafan turbin dari semasa ke semasa,” kata Abang Johari.
Beliau menambah kemudahan simulasi di Pusat Inovasi Siemens berpotensi dimanfaatkan oleh pengguna di Sarawak.
Lawatan kerja itu amat bermakna kerana membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang tenaga hijau sejajar dengan aspirasi Sarawak.
Sarawak bercita-cita untuk menjadi peneraju industri hidrogen di Asia melalui kerjasama strategik seperti ini.
Abang Johari dan rombongan mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Kanan Kumpulan Siemens Energy Thorbjörn Fors.
Mereka juga berjumpa dengan Naib Presiden Eksekutif bagi Global Functions Siemens Energy Juha Pankakoski. – Bernama