KUALA LUMPUR: Lebih 100 pustakawan dan profesional maklumat termasuk dari negara ASEAN menyertai Librarians Fun Run 2025 hari ini bersempena Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara (CONSAL) 2025.

Pengarah Projek Librarians Fun Run 2025 Dr A’dillah Mustafa berkata acara larian sejauh lima kilometer di sekitar kawasan Sungai Bunus dan Taman Tasik Titiwangsa di sini turut disertai 12 peserta dari Vietnam, Filipina dan Indonesia.

A’dillah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Maklumat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana berkata program itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat.

“Di samping itu, ia menjadi wadah kepada pustakawan dan profesional maklumat dari negara Asia Tenggara untuk berkongsi idea baharu dalam suasana yang lebih terbuka dan santai,” katanya kepada Bernama di Kebun Bandar Sungai Bunus di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azlina Aziz dan Pengurus Kanan Perpustakaan Digital Bernama Hasnita Ibrahim.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Edy Irwan Zulkafli berkata profesional perpustakaan dari 10 negara anggota ASEAN akan bermesyuarat dan bersidang di ibu negara selama empat hari bermula hari ini sempena CONSAL ke-19 bagi berkongsi pengetahuan dan memperkukuh kerjasama serantau.

Edy Irwan berkata pelbagai cabaran dalam bidang perpustakaan serta isu berkaitan di peringkat negara dan serantau akan dibincangkan pada kongres itu.