KANGAR: Seramai 23,890 warga Malaysia direkodkan keluar ke Thailand melalui dua pintu sempadan negara di Perlis iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dan Wang Kelian sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia semalam.

Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Talib berkata jumlah itu bagi tempoh 12 hingga 15 Sept dengan ICQS Padang Besar mencatatkan sejumlah 16,491 orang manakala 7,399 lagi keluar melalui ICQS Wang Kelian.

“Jumlah ini dijangkakan berlaku peningkatan sehingga hujung cuti persekolahan,” katanya ringkas kepada Bernama melalui aplikasi pesanan WhatsApp hari ini.

Khairul Amin mengingatkan warga Malaysia yang ingin bercuti ke negara jiran itu perlu memastikan dokumen perjalanan masih sah dan mengharapkan keprihatinan mereka untuk bersabar menghadapi kesesakan di pintu sempadan dalam tempoh cuti sekolah ini.