• 2025-07-15 01:34 PM

GAZA CITY / ISTANBUL: Lebih 700 rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak, dilaporkan terbunuh sejak Oktober 2023 ketika cuba mendapatkan air di Gaza. Kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan bahawa Israel menggunakan taktik kehausan sebagai sebahagian daripada perang sistematik terhadap penduduk Palestin.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, tentera Israel didakwa melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza yang sedang berusaha mendapatkan air bersih. Daripada jumlah itu, lebih 700 nyawa terkorban, dengan majoriti mangsa terdiri daripada kanak-kanak.

Insiden terbaharu berlaku di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah, di mana sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk lapan kanak-kanak, terbunuh ketika beratur untuk mendapatkan air. Pejabat Media Gaza juga mendedahkan bahawa lebih 720 telaga air dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel, menyebabkan lebih 1.25 juta penduduk kehilangan akses kepada air bersih.

Selain itu, Israel dikatakan menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan, yang diperlukan untuk mengoperasikan telaga air dan sistem kumbahan. “Tindakan ini melumpuhkan sepenuhnya bekalan air dan kumbahan, menyebabkan wabak penyakit merebak, terutama dalam kalangan kanak-kanak,“ menurut kenyataan tersebut.

Pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia untuk bertindak segera menghentikan penggunaan air sebagai senjata perang. Mereka juga menuntut kemasukan bahan api dan peralatan untuk membaik pulih sistem bekalan air.

Sejak Mac lalu, Israel terus menutup semua laluan bantuan ke Gaza, memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang melibatkan 2.4 juta penduduk. Sekatan ini menyebabkan Gaza di ambang kebuluran, dengan semakin banyak kematian dilaporkan akibat kelaparan.

Serangan Israel di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, dengan jumlah korban kini melebihi 58,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. - Bernama-Anadolu