• 2025-08-05 11:12 AM

KUANTAN: Seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai 44 rekod jenayah dan dadah ditahan di Temerloh selepas disyaki terlibat dalam kes curi kabel. Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata suspek cuba melarikan diri menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu ketika polis memperkenalkan diri di hadapan sebuah kedai. “Suspek memandu secara melulu, melanggar tebing jalan, dan akhirnya terbabas sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat,“ katanya.

Pergelutan berlaku antara polis dan suspek sebelum lelaki itu berjaya ditahan. Pemeriksaan mendapati suspek positif dadah. Polis turut merampas pelbagai peralatan jenayah seperti tukul besi, pengunci besi pembuka manhole, dan sejumlah pil yaba.

Mazlan menambah, suspek mengaku terlibat dalam kes curi kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor, dan Pahang pada Februari lalu. Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama