ISTANBUL: Seorang lelaki bersenjata ditahan di Stadium State Farm di negeri Arizona, Amerika Syarikat, lokasi yang dijadual menjadi tempat majlis peringatan aktivis konservatif Charlie Kirk pada Ahad, selepas didakwa menyamar pegawai polis, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut laporan ABC News, Joshua Runkles, 42, ditahan Jabatan Keselamatan Awam (DPS) Arizona dan didakwa atas kesalahan membawa senjata ke kawasan larangan serta menyamar sebagai pegawai penguat kuasa undang-undang.
DPS dalam satu kenyataan berkata Runkles dihentikan selepas menunjukkan “tingkah laku mencurigakan” dan mengesahkan bahawa dia “bukan pegawai penguat kuasa undang-undang.”
Siasatan sedang dijalankan bagi menentukan niat dan tujuan Runkles berada di stadium berkenaan.
“Runkles kini telah dibebaskan dengan ikat jamin,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Perkhidmatan Rahsia AS memberitahu ABC News bahawa ejen mereka berdepan dengan seorang “individu yang diperhatikan berkelakuan mencurigakan” dan yang membuat dakwaan palsu sebagai pegawai penguat kuasa bersenjata.
Agensi berkata ia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti tujuan suspek berada di lokasi itu - BERNAMA-ANADOLU